Sabtu, 20 Oktober 2018 | 2:41pm
M Kulasegaran (dua kanan) merasmikan Dewan Komuniti Dr V V Menon Kuil Sri Ramar di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia. - Foto NSTP/Shamsul Kamal Amarudin
M Kulasegaran (dua kanan) merasmikan Dewan Komuniti Dr V V Menon Kuil Sri Ramar di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia. - Foto NSTP/Shamsul Kamal Amarudin

Tanah runtuh: Siasat majikan kes pekerja binaan tertimbus

LUMUT: Kementerian Sumber Manusia akan menjalankan kajian terperinci termasuk majikan sama ada berlaku pelanggaran terhadap keselamatan pekerjaan dalam kejadian tanah runtuh di Jalanraya Berkembar Bukit Kukus di Georgetown, Pulau Pinang.

Menterinya, M Kulasegaran, berkata pihaknya juga akan menyiasat bagaimana majikan boleh membenarkan pekerja mereka tinggal di lokasi kejadian sehingga mengakibatkan mereka tertimbus hidup-hidup.

“Maklumat awal yang saya terima semua pekerja itu tinggal dalam kontena di kaki bukit berkenaan secara haram.

“Ketika ini, pegawai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan tiga pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sudah berada di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Dewan Komuniti Dr V V Menon Kuil Sri Ramar di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini hari ini.

Sehingga tengah hari ini, empat orang ditemui maut manakala lapan lagi masih hilang dalam kejadian tanah runtuh di tapak projek berkenaan kira-kira jam 2 petang semalam.

Minggu lalu, sebahagian rasuk konkrit bagi projek pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di sini, runtuh apabila kren yang mengangkat kepingan plat keluli secara tidak sengaja terkena struktur terbabit, kira-kira jam 8 malam.

Projek bernilai RM545 juta itu muncul sebagai laluan alternatif menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Bukit Jambul itu dijangka siap pada Mac 2020, selepas mengalami kelewatan setahun dari jangkaan asal.

Kulasegaran berkata, beliau kini memantau perkembangan kejadian berkenaan dan tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan berkaitan.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mendedahkan hasil siasatan pihaknya itu kepada umum apabila siap sepenuhnya nanti.

Berita Harian X