X
Isnin, 15 Oktober 2018 | 12:11pm

Mayat wanita reput, ditutup muka ditemui

KOTA KINABALU: Mayat seorang wanita ditemui dengan mukanya ditutup baju dalam keadaan busuk dan berulat di kawasan hutan Kampung Tamalang Silou, Inanam, di sini, semalam.

Mayat tidak diketahui identiti itu ditemui oleh seorang lelaki selepas curiga apabila anjing peliharaannya menyalak ketika mencari durian berhampiran lokasi kejadian, jam 2.30 petang.

Susulan penemuan itu, lelaki berusia 44 tahun terbabit membuat laporan di Balai Polis Inanam, pada jam 5.40 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata susulan laporan itu, sepasukan polis menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mendapati satu mayat wanita berseluar panjang bertulis ‘SMK Kamabong’, memakai baju hitam dan muka ditutup dengan jaket warna biru muda.

“Keadaan mayat sukar dikenal pasti kerana sudah reput. Lokasi kejadian dalam hutan dan kedudukan mayat di kawasan berair,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, mayat wanita itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau majikan diminta menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-221191 atau mana-mana balai berdekatan untuk pengecaman mayat,” katanya.

Berita Harian X