Isnin, 8 Oktober 2018 | 5:28pm
LIMA mangsa yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 255.3, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), berdekatan Terowong Menora, kelmarin, dipercayai dari empat keluarga berlainan. - Ihsan Bomba

Mangsa rentung nahas dekat Terowong Menora dipercayai dari 4 keluarga

KUALA KANGSAR: Lima mangsa yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 255.3, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), berdekatan Terowong Menora, dekat sini kelmarin, dipercayai dari empat keluarga berlainan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Zahiri Hassan, berkata setakat ini tiga keluarga sudah tampil bagi menjalani ujian asid deoksiribokuleik (DNA) di Hospital Kuala Kangsar (HKK).

"Hari ini, satu lagi keluarga tampil dari Shah Alam, Selangor kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi yang mengesyaki saudara lelaki mereka turut berada dalam kenderaan itu.

"Semua sampel DNA ini dihantar ke Jabatan Kimia dan ianya mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk mengetahui keputusan akhir," katanya pada sidang media di Unit Forensik HKK hari ini.

Zahiri berkata, usaha mengesan seorang lagi waris mangsa disyaki pemandu kenderaan itu sedang diusahakan dan polis yakin ahli keluarga mangsa dipercayai wanita itu akan dapat dihubungi dalam masa terdekat.

"Setakat ini, maklumat mangsa yang kita perolehi adalah dua penumpang wanita dan seorang bayi lelaki. Semalam, ahli keluarga masing-masing datang menjalani ujian DNA.

"Siasatan dan usaha mengesan waris mangsa dilakukan secara menyeluruh termasuk pemeriksaan ke atas nombor casis kenderaan yang digunakan," katanya.

Pagi tadi, polis mendapatkan perintah menahan reman pemandu treler berusia 41 tahun yang terbabit dalam kemalangan itu selama dua hari bagi membantu siasatan itu.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, mengesahkan pemandu treler berasal dari Kedah itu ditahan di lokasi kejadian dan semakan mendapati dia mempunyai 13 saman trafik termasuk memandu laju manakala 11 saman dikeluarkan terhadap treler syarikat itu sebelum ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, treler membawa muatan bijih besi yang dikatakan dalam perjalanan daripada Batu Pahat, Johor ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan sebelum menghimpit kereta berkenaan ke pembahagi jalan konkrit di tengah laluan, sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Ahmad Adnan Basri, pula dilaporkan berkata buat masa ini identiti kesemua mangsa masih belum diperolehi susulan mangsa rentung dan usaha mengenalpasti mangsa sedang dijalankan.

Berita Harian X