Khamis, 4 Oktober 2018 | 5:23pm
LEE Lam Thye
LEE Lam Thye

Syor suruhanjaya siasatan khas kaji keselamatan di air

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya siasatan khas bagi mengkaji prosedur operasi standard (SOP) sedia ada berkaitan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam air perlu diselaras segera, kata Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (WASC), Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau turut menekankan keperluan khusus untuk skop kajian itu mengambil kira pelbagai kemungkinan apabila berlaku perubahan kadar air, arus lebih deras atau pusaran air terutama selepas hujan lebat.

“Saya amat sedih membaca berita mengenai insiden tragik membabitkan enam penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat yang maut ketika mencari seorang remaja berusia 17 tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, semalam.

“Saya harap penyiasatan menyeluruh dan bebas dijalankan supaya kita semua dapat mengetahui punca sebenar tragedi ini dan mengelakkannya daripada berulang di masa depan.

“Saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa yang terbabit dan pada masa yang sama, berterima kasih kepada pihak yang membantu mengeluarkan mayat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, amat sukar untuk menerima tragedi itu kerana kesemua enam mangsa adalah penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang sememangnya dilatih untuk tujuan itu.

Lam Thye turut menggesa siasatan kenapa mangsa yang dicari enam anggota bomba malang itu iaitu remaja yang lemas dalam lombong berkenaan ketika memancing, boleh terjatuh dalam lombong berkenaan.

“Perlu disiasat sama ada terdapat penghalang atau papan tanda bahaya yang secukupnya diletakkan di kawasan itu untuk memberitahu orang ramai mengenai bahaya kawasan takungan air berkenaan.

“Semua pihak yang terbabit dengan kawasan takungan air di tanah mereka termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemilik tanah persendirian perlu bertanggungjawab menyediakan penghalang dan papan tanda bahaya .

“Satu daripada punca tragedi lemas adalah disebabkan akses mudah memasuki kawasan takungan air, kolam atau lombong yang tidak digunakan,” katanya.

Beliau berkata, statistik menunjukkan Selangor mencatatkan kes lemas tertinggi di negara ini dan kebanyakannya berlaku di kawasan takungan air di daratan.

Justeru, katanya, dalam semua PBT dan kerajaan negeri perlu bertanggungjawab menyelaras langkah bagi mencegah kes lemas, lebih-lebih lagi ketika musim monsun sekarang ini yang menyebabkan kadar air di kawasan takungan meningkat.

“Kes lemas boleh dielakkan jika semua agensi berkenaan dan PBT bertindak proaktif tanpa menunggu tragedi berlaku terlebih dulu sebelum mengambil tindakan atau menunggu arahan daripada kerajaan Persekutuan.

“Malah, kelemahan juga berlaku dalam aspek pemantauan dan tindakan susulan. Sepatutnya, pihak berkenaan perlu menerima pakai amalan seragam keselamatan di air yang dibangunkan Pertubuhan Antarabangsa untuk Penyeragaman atau ISO 20712-1:2008.

“Kerajaan harus mewajibkan syarat membekalkan alat pelampung peribadi (PFD) di kawasan berisiko tinggi dan kapal kegunaan rekreasi serta menyediakan penyelamat nyawa di semua kawasan pantai selain menyelaras pelan tindakan segera oleh pihak berkuasa apabila berlaku bencana,” katanya.

Lam Thye juga mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya mengawasi pergerakan kanak-kanak apabila terbabit dalam kegiatan di air kerana kira-kira 700 kes lemas saban tahun membabitkan kanak-kanak.

Berita Harian X