Sabtu, 29 September 2018 | 3:23pm

Padah minum arak

KUALA LUMPUR: Seramai 31 individu beragama Islam ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) selepas didapati mengambil minuman keras dalam pemeriksaan Ops Bah Siri 47 yang dijalankan di dua pusat hiburan di ibu kota, awal pagi tadi.

Operasi bermula jam 1 pagi, di pusat hiburan pertama di Jalan Sungai Besi dan lokasi kedua di Jalan Sultan Ismail, sebelum tamat kira-kira jam 7 pagi.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Azman Mahmood yang mengetuai operasi itu, berkata seramai enam warga asing ditahan dalam serbuan itu.

“Kami menyerbu dua premis pusat hiburan pagi ini dengan kekuatan seramai 379 kakitangan dari pelbagai agensi seperti polis, Jabatan Imigresen (Imigresen), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Hasil serbuan di kedua -dua lokasi, Imigresen berjaya menahan enam warga asing yang didapati melanggar Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya ketika ditemui sejurus operasi tamat, pagi tadi.


WARGA asing antara yang ditahan dalam Ops BAH bersama penguatkuasa DBKL dan agensi-agensi kerajaan di pusat hiburan sekitar Kuala Lumpur. - Foto Rosdan Wahid

Beliau berkata, JAWI memeriksa 56 individu sebelum 11 wanita dan 20 lelaki ditahan mengikut Seksyen 19 Akta 559 Jenayah Syariah manakala 25 individu diberi notis perintah hadir mengikut Seksyen 43 Akta 559 Jenayah Syariah.

“Pihak SSM pula mengesan premis kedua melakukan kesalahan mengikut Seksyen 30(1)(b), Akta Syarikat 2016 kerana gagal mempamerkan nama dan nombor syarikat seperti yang didaftarkan di premis perniagaan.

“Di lokasi pertama pihak AADK menyaring 34 individiu dan 16 daripadanya positif dadah jenis ekstasi dan methamphetamine manakala di lokasi kedua seramai 30 individu disaring secara rawak namun tiada tangkapan dibuat.

“Bagi pihak DBKL sendiri, kami menyita premis kedua-dua premis dengan menyerahkan notis penutupan kerana tidak mempunyai lesen,” katanya.

SEBUAH premis diarah tutup dalam Ops BAH bersama penguatkuasa DBKL dan agensi-agensi kerajaan di pusat hiburan sekitar Kuala Lumpur. - Foto Rosdan Wahid
Berita Harian X