Khamis, 27 September 2018 | 7:54pm
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy. - Arkib NSTP
BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy. - Arkib NSTP

Arul Kanda dipanggil JSJK

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mengambil keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy, semalam, berhubung kandungan ceramahnya mengenai syarikat itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Turut dipanggil untuk memberi keterangan adalah beberapa individu lain.

Sumber berkata, Arul Kanda mungkin akan didakwa dalam masa terdekat atas kesalahan pecah amanah, bagaimanapun siasatan masih dijalankan dan pihaknya akan melihat arah tuju kes berkenaan.

“Arul Kanda pernah mengadakan siri ceramah di seluruh negara untuk menerangkan kedudukan 1MDB.

“Keterangan diambil berhubung kandungan ceramah yang diberikan sebelum berlangsungnya PRU-14 pada Mei lalu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, mengesahkan pihaknya memanggil Arul Kanda semalam berhubung siasatan 1MDB.

Arul Kanda pada Mei lalu mengadakan sejumlah 30 sesi penerangan dan soal jawab 1MDB di seluruh negara bagi menerangkan segala keraguan berhubung isu membabitkan 1MDB.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 22 Mei lalu dilaporkan berkata, kerajaan perlu melunaskan bayaran faedah pinjaman 1MDB berjumlah RM143.75 juta selain syarikat itu perlu menyelesaikan faedah pinjaman berjumlah RM810.21 juta bagi bulan antara September hingga November ini dan meminta Arul Kanda, yang masih berkhidmat sehingga 30 Jun, memberi penjelasan berhubung isu itu.

Hasil perjumpaan dengan dua ahli Lembaga Pengarah 1MDB, Datuk Norazman Ayob dan Datuk Kamal Mohd Ali, pada 23 Mei, Guan Eng memaklumkan pengurusan 1MDB mengakui syarikat pelaburan strategik terbabit sudah muflis dan tidak mampu membayar hutangnya.

Berita Harian X