Sabtu, 22 September 2018 | 3:15pm
ANGGOTA bomba berusaha membantu mangsa yang mengalami kecederaan parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kimanis-Keningau. - Foto Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha membantu mangsa yang mengalami kecederaan parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kimanis-Keningau. - Foto Ihsan Bomba

2 maut kemalangan di Inanam, Kimanis

KOTA KINABALU: Dua lelaki maut di Inanam di sini, dan Kimanis, dalam dua kemalangan berasingan berselang kira-kira dua jam, awal pagi tadi.

Nahas pertama berlaku di Jalan Kionsom, Inanam membabitkan tiga kenderaan iaitu lori 10 tan, pacuan empat roda Isuzu Single Cab dan Chevrolet Malibu.

Pegawai Bomba Kanan (PBK) Dua, Balai Bomba dan penyelamat Lintas, Jamikah Ismail, berkata dalam kejadian jam 2.40 pagi itu, bomba mengeluarkan seorang lelaki yang tersepit di pacuan empat roda dipandunya, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Seorang lagi mangsa lelaki yang menaiki kereta sama, parah dan dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala pemandu sebuah lagi kenderaan tidak cedera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Identiti mangsa belum dikenal pasti dan difahamkan pemandu lori tiada di tempat kejadian, dipercayai melarikan diri.

Jamikah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.52 pagi sebelum menghantar lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas bersama sebuah jentera dan kenderaan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Sementara itu, di Papar, Yong Fui Kee, 48, maut selepas kenderaan Toyota Vigo dipandunya merempuh belakang treler di Jalan Kimanis-Keningau, jam 4.50 pagi tadi.

Tiga penumpang yang cedera dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Papar bagi mendapatkan rawatan.

Berita Harian X