Rabu, 19 September 2018 | 4:49pm
KETUA Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim (tengah) menunjukkan antara barangan yang dirampas dalam kes pecah rumah di sekitar daerah Penampang pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang. - Foto Malai Rosmah Tuah
KETUA Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim (tengah) menunjukkan antara barangan yang dirampas dalam kes pecah rumah di sekitar daerah Penampang pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang. - Foto Malai Rosmah Tuah

Dua beradik dalang 23 kes pecah rumah ditahan

PENAMPANG: Polis menumpaskan kumpulan penjenayah yang aktif dalam kegiatan pecah rumah sekitar daerah ini dikenali sebagai Geng Emas susulan penahanan dua beradik lelaki, baru-baru ini.

Tangkapan pertama dilakukan pada jam 8 pagi 7 September lalu, hasil maklumat orang awam susulan kes menceroboh sebuah rumah di Kampung Pogunon.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata hasil pengakuan suspek membawa kepada tangkapan abangnya di Buhavan Square pada jam 11.30 pagi, keesokannya.

Katanya, siasatan mendapati, dua beradik masing-masing berusia 30 dan 35 tahun itu terbabit dalam 23 kes pecah rumah sekitar Penampang dan Putatan dengan menyasarkan kediaman tidak berpenghuni, terutama pada waktu siang.

“Suspek melakukan pecah rumah ketika penghuni tiada di rumah atau keluar bekerja pada sebelah siang dan menumpukan rumah kampung untuk dipecah masuk.

“Mereka dikenali sebagai Geng Emas kerana kebanyakan barang yang dicuri adalah barang kemas termasuk rantai, gelang dan beberapa barangan elektronik serta peralatan rumah. Semua barang yang dicuri dijual di sekitar Penampang, Putatan dan Kota Kinabalu.

“Nilai keseluruhan kerugian membabitkan 23 kes itu ialah RM347,000. Namun kita turut merampas semula barang yang belum sempat dijual bernilai RM35,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di sini, hari ini.

Mohd Haris berkata, seorang suspek didapati positif dadah jenis syabu dan kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X