Rabu, 19 September 2018 | 1:19pm
SCOTT Morrison. - Foto EPA
SCOTT Morrison. - Foto EPA

Sabotaj strawberi sama seperti 'keganasan' - Morrison

SYDNEY: Mencemari strawberi pasar raya dengan jarum jahitan, tidak ubah seperti satu perbuatan ‘keganasan’ kata perdana menteri Australia hari ini, sekali gus menuntut hukuman lebih berat dikenakan kerana mengancam keselamatan negara.

Scott Morrison, yang menyeru warga Australia untuk membuat pavlova strawberi hujung minggu ini untuk membantu petani yang kesusahan, menuntut perubahan dalam undang-undang bagi membolehkan penjenayah dipenjara selama 15 tahun.

“Kami bukan cakap kosong,” kata Morrison, selepas sekurang-kurangnya 20 buah strawberi didapati tercemar dengan jarum atau pin.

Menyifatkan penjenayah itu sebagai ‘pengecut dan perosak’, Morrison menggesa parlimen untuk segera menaikkan hukuman maksimum dari 10 kepada 15 tahun penjara.

Ancaman itu menyebabkan produk pasar raya terpaksa dipanggil semula dan beberapa kedai di New Zealand mengharamkan penjualan strawberi Australia buat sementara waktu.

“Kembalilah membeli strawberi seperti dulu, dan ambil langkah berjaga-jaga yang perlu,” kata Morrison kepada warga Australia di televisyen.

Polis Australia berkata semalam, pihaknya masih tidak mengetahui motif sebenar di sebalik serangan itu dan masih mengesan suspek.

Orang ramai turut diminta membantu siasatan dan dijangka akan menaikkan lagi ganjaran bagi maklumat yang dapat membantu menyelesaikan kes. - AFP

Berita Harian X