Isnin, 17 September 2018 | 12:36pm
GAMBAR fail, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Hanya kerana RM140...

JASIN: Lakonan seorang pemuda kononnya dia disamun akhirnya menjerat diri sendiri apabila dia ditahan polis dalam kejadian di Sungai Rambai, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, pemuda berusia 24 tahun itu dikatakan sanggup membuat laporan palsu kerana bimbang dimarahi selepas membelanjakan wang milik abangnya.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu, berkata suspek yang bekerja sebagai penyelenggara penghawa dingin datang ke balai polis bersama abangnya membuat laporan kononnya disamun dua lelaki bertopeng.

“Suspek mendakwa ketika dia berada di rumahnya di Taman Chempaka, Sungai Rambai, dia didatangi dua lelaki bertopeng lalu mengikat dan menutup mulutnya dengan pita pelekat.

“Suspek turut mendakwa sejumlah wang RM140 turut dilarikan penjenayah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arshad berkata, suspek yang kononnya dapat melepaskan diri kemudian menceritakan kejadian kepada abangnya sebelum membuat laporan.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati suspek sanggup membeli tali dan pita pelekat di kedai berhampiran untuk menampakkan seolah-olah ia benar berlaku.

“Tindakan suspek berbuat demikian kerana wang yang diberi abangnya habis dibelanjakan untuk kegunaan sendiri,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang sebelum ini mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah kemudian dibebaskan sebaik diambil keterangan.

“Sepanjang tahun ini, kami menerima tiga laporan palsu berkaitan kononnya disamun.

“Mereka yang didapati membuat laporan palsu akan disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Oleh itu orang ramai diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya membuat laporan palsu yang boleh mencetuskan suasana panik,” katanya.

Berita Harian X