Selasa, 11 September 2018 | 2:44pm
KETUA Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli. - Foto Faiz Anuar
KETUA Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli. - Foto Faiz Anuar

Pekerja kedai emas cedera bergelut dengan perompak

KLANG: Seorang pekerja kedai emas cedera selepas bergelut dengan ‘pelanggan’ yang nekad melarikan sebentuk cincin emas dari premis itu di Jalan Tengku Kelana, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, suspek lelaki berusia 32 tahun itu memasuki kedai dengan berpura-pura mahu melihat cincin berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata sebaik menerimanya daripada mangsa yang berusia 47 tahun, suspek bertindak melarikan diri.

“Mangsa yang juga lelaki bersama seorang lagi rakannya sempat mengejar dan menahan suspek sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun, suspek bertindak agresif dan mengeluarkan sebilah pisau kecil lalu bergelut dengan mangsa yang cedera pada muka serta leher,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek gagal meloloskan diri dan diserahkan kepada pihaknya yang tiba di lokasi kejadian.

“Kami menemui semula cincin emas itu yang bernilai RM318 dan pisau digunakan suspek,” katanya sambil menambah, suspek tiada rekod jenayah lampau dan masih ditahan bagi membantu siasatan.

Berita Harian X