Sabtu, 8 September 2018 | 4:16pm
ABANG mangsa, Husin Osman. - Foto Sharul Hafiz Zam
ABANG mangsa, Husin Osman. - Foto Sharul Hafiz Zam

Saya pikul adik 400 meter - Husin

PADANG TERAP: “Saya terpaksa pikul adik yang kesakitan sejauh 400 meter dan merentasi anak sungai selepas dia dipijak gajah di dusun kami untuk mendapatkan bantuan,” kata abang mangsa, Husin Osman, 53.

Dalam kejadian jam 6.30 petang semalam, Mat Juhid , 49, dari Kampung Hulu Padang Sanai Kanan, parah di bahagian kanan kepala dan tangan kanan selepas dipijak gajah liar ketika dalam perjalanan pulang bersama Husin.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia selepas Husin membawanya ke Hospital Kuala Nerang, dekat sini, untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Menceritakan kembali kejadian itu, Husin berkata, dia dan arwah dalam perjalanan pulang selepas selesai berkebun dan menguruskan pokok dokong yang tumbang akibat gangguan gajah.

“Sedang kami bersiap, secara tiba-tiba seekor gajah muncul dari bahagian tanah tinggi pada jarak 30 meter sebelum gajah terbabit yang terkejut cuba melarikan diri ke arah hutan tetapi dalam masa sama, arwah berada di laluannya.

“Saya berjaya melarikan diri ke kanan tetapi adik yang tidak sempat melarikan diri gagal mengambil senapang yang diletak di atas tanah, sebelum dia terjatuh dan dipijak gajah yang kemudiannya hilang dalam hutan berhampiran.

“Arwah menjerit kesakitan sebelum saya segera memikulnya sejauh 400 meter dan merentasi anak sungai. Selepas itu, saya membaringkan arwah di atas kain rentang di bawah pokok rambutan di tepi jalan tanah merah untuk mengambil kereta di rumah yang terletak sejauh kira-kira lima kilometer dengan menaiki motosikal saya,” katanya yang ditemui di rumah arwah di Kampung Ulu, Padang Sanai, di sini hari ini.

Semalam, NSTP melaporkan seorang pemilik dusun, Mat Juhid dari Kampung Hulu, di sini maut akibat parah di muka selepas dipijak gajah ketika hendak pulang bersama abangnya selepas berkebun.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Noh Idris, memaklumkan kes mangsa diklasifikasi sebagai kematian mengejut dan perkara terbabit sudah dimaklumkan kepada Jabatan Perhilitan Kedah untuk mengesan sama ada gajah terbabit masih berada sekitar kawasan dusun mangsa atau tidak.

Husin berkata, arwah yang mempunyai empat anak dan seorang isteri memaklumkan dia akan tunggu sementara kereta sampai untuk membawanya ke hospital.

Katanya, Mat Juhid memintanya supaya tidak risau kerana hanya patah tangan kanan dan luka di bahagian muka.

“Apabila kembali, saya baringkan arwah di tempat duduk belakang kereta dan terus memecut laju menggunakan jalan Pedu - Kuala Nerang untuk ke Hospital Kuala Nerang. Namun ketika itu, arwah hanya mengadu sakit sebelum saya mendengar beberapa kali hembusan nafas arwah.

“Saya cuba melihat keadaan arwah tetapi disebabkan saya sedang memandu kereta dengan laju, saya tahan diri kerana tidak mahu kejadian buruk berlaku namun arwah tiba-tiba senyap.

“Ketika di hospital, doktor memaklumkan adik sudah meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat sebelum dibenarkan dibawa pulang petang ini. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Ulu, Padang Sanai,” katanya.

Berita Harian X