Khamis, 30 Ogos 2018 | 5:50pm
PEMANDU lori berusia 32 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul anak perempuannya berusia empat tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu. - Foto Hanneeyzah Bariah Baharin

Pemandu lori tak mengaku cabul anak

KUALA TERENGGANU: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap dua pertuduhan mencabul anak perempuannya berusia empat tahun, Julai lalu.

Tertuduh yang berusia 32 tahun dari Kampung Chabang Tiga, di sini, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencabul anak perempuannya berusia empat tahun di sebuah rumah di Kampung Gong Pauh, di sini, pada Julai lalu, dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memegang dan mencakar kemaluan mangsa kira-kira jam 9.15 pagi pada 27 Julai lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(d) dan 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 14(d) dan 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 16 akta sama, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan boleh dihukum tidak kurang daripada dua sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Jamaludin menetapkan 26 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Berita Harian X