Ahad, 26 Ogos 2018 | 12:50pm
AHLI Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Owee Ah Chun
AHLI Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Owee Ah Chun

Saran kerajaan wajib PBT letak PFD

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mewajibkan pihak berkuasa tempatan (PBT) meletakkan peranti pengapungan peribadi (PFD) di lokasi berisiko tinggi berlaku kejadian lemas untuk digunakan pada waktu kecemasan.

Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kerajaan perlu mewajibkan setiap bot pelancong memiliki PFD.

"PFD tidak semestinya mahal dan negara tertentu sudah menggunakan alat berkenaan yang berkesan, murah serta tidak mudah rosak.

"Malah, ia juga boleh dibuat dengan mengitar semula bekas air plastik terbuang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan Lam Thye mengulas insiden membabitkan tiga pelajar yang lemas ketika berenang bersama empat rakan di Pantai Teluk Kalong, Kijal, Kemaman, Terengganu pada 23 Ogos lalu.

"Amat malang sekali kes lemas masih berlaku walaupun Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA) sudah mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk berada dalam keadaan bersiap sedia di semua kawasan berisiko tinggi semasa cuti sekolah," katanya.

Lam Thye berkata, PBT juga perlu menggunakan papan tanda keselamatan seragam yang dibangunkan oleh Pertubuhan Standard Antarabangsa (ISO) dikenali sebagai ISO 20712-1: 2008.

"Papan tanda amaran perlu dipasang di lokasi strategik untuk mengingatkan orang ramai mengenai bahaya lemas di kawasan berisiko tinggi.

"Selain itu, papan tanda rosak atau menjadi ‘mangsa’ vandalisme perlu diganti dengan serta-merta," katanya.

Beliau berkata, sudah tiba masa untuk orang ramai menjadi sukarelawan dan mewujudkan pasukan rondaan sukarela bagi memberi amaran kepada pihak berkuasa sekiranya menemui kawasan atau keadaan yang boleh menyebabkan kes lemas berlaku.

"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui JBPM sudah mengenal pasti 12 lokasi di seluruh negara sebagai kawasan berisiko tinggi berlakunya kejadian lemas.

"Lokasi itu termasuk Sungai Kampung Batu Payung di Sabah; Sungai SKC Kampung Timah, Sungai Chiling, Sungai Gasi, Air Terjun Sungai Sendat dan Empangan Semenyih di Selangor; Sungai Kampung Sabak, Pantai Nipah dan Muara Tok Bali di Kelantan; Air Terjun Lata Berembun dan Air Terjun Chamang di Pahang serta Teluk Bahang di Pulau Pinang.

"Selain 12 kawasan ini, saya ingin mencadangkan lebih banyak kawasan yang mempunyai risiko tinggi lemas dimasukkan ke dalam senarai supaya tindakan pencegahan boleh diambil untuk mengurangkan bilangan kes," katanya.

Katanya, pihak sekolah juga perlu memberi kesedaran mengenai bahaya lemas dengan mengundang wakil dari MKAA atau agensi berkaitan untuk memberi taklimat sebelum cuti sekolah bermula.

Menurutnya, media sosial dan konvensional juga perlu mewujud serta mengekalkan kesedaran berhubung masalah lemas secara berterusan agar tidak menjadi punca utama kematian terutama dalam kalangan kanak-kanak.

"Kajian dijalankan Pusat Penyelidikan Klinikal Perak menunjukkan kira-kira 500 kanak-kanak lemas setiap tahun dan menjadi penyebab kematian kedua tertinggi dalam kalangan golongan berusia bawah 18 tahun.

"Secara purata, dianggarkan 700 kes lemas dilaporkan di seluruh negara setiap tahun, manakala laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan bahawa sekitar 40 individu lemas di seluruh dunia setiap jam," katanya.

Beliau berkata, semua pihak perlu menjadikan pencegahan lemas sebagai sebahagian daripada budaya mereka.

"Kanak-kanak dan pelajar sekolah perlu dididik mengenai bahaya lemas dan cara mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

"Semua pihak diseru untuk membantu mengurangkan jumlah kes lemas dengan menjadikan pencegahan sebagai sebahagian daripada budaya kita," katanya.

Berita Harian X