Sabtu, 18 Ogos 2018 | 7:48am

Pusat hiburan 'kebal' diserbu

KUALA LUMPUR: Selepas dipercayai beroperasi lebih 30 tahun tanpa diperiksa, ‘kekebalan’ sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail akhirnya musnah selepas diserbu awal pagi tadi.

Pusat hiburan yang didakwa sering menjadi tumpuan golongan gay itu diperiksa dalam Operasi Bersepadu Banteras Aktiviti Haram (Op BAH) Siri 46.

Antara agensi terbabit ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Adnan Md Ikshan, berkata ketika serbuan dijalankan pada jam 1.30 pagi, premis berkenaan dipenuhi kira-kira 100 orang pengunjung termasuk pelancong.

“Dalam Op Bah ini, pelbagai agensi penguatkuasaan yang berbeza menjalankan pemeriksaan terhadap premis dan pengunjung, bagi mengesan pelbagai jenis kesalahan.

“Hasil pemeriksaan awal kita dapati pusat hiburan berkenaan memiliki lesen perniagaan yang sah, bagaimanapun jika kita mengesan ada sebarang kesalahan, kita akan semak semula lesen dan ambil tindakan atas kesalahan yang dilakukan.

“Saya dimaklumkan oleh pasukan risikan, premis ini dipercayai tidak pernah diperiksa walaupun sudah beroperasi lebih 30 tahun,” katanya ketika hadir mengikuti Op Bah Siri 46, hari ini.

Adnan berkata, selain pusat hiburan berkenaan, serbuan turut dilakukan di dua kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) iaitu PPR Sri Aman dan PPR Beringin di Kepong.

“Kita lakukan pemeriksaan di kawasan PPR selepas menjalankan siasatan dan risikan dan mendapati kawasan itu mempunyai masalah penagihan dadah yang semakin serius.

“Saya ingin menggesa kepada pemimpin, wakil penduduk atau penduduk itu sendiri supaya tampil menyalurkan maklumat mengenai masalah dadah di kawasan perumahan mereka.

“Penyaluran maklumat secara terus ini dapat memudahkan kita untuk mengambil tindakan dengan segera, kita tidak perlu ambil masa yang lama untuk bertindak jika ada yang tampil memberi maklumat.

“Bukan sahaja di PPR, kawasan lain juga perlu peka dengan masalah dadah, kita mahu lakukan sesuatu sebelum masalah ini menjadi lebih serius dan sukar untuk ditangani,” katanya.

Sebuah Kelab Malam di Jalan Sultan Ismail yang sering menjadi tumpuan golongan gay diserbu ketika Ops Bah dijalankan. - Foto Asyraf Hamzah
Berita Harian X