Sabtu, 11 Ogos 2018 | 9:32pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Pengasuh ditahan susulan bayi perempuan retak tulang lengan kanan

BALIK PULAU: Remaja perempuan berusia 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menyebabkan bayi perempuan berusia dua tahun retak tulang lengan kanan ketika berada di sebuah taska di Sungai Nibong dekat sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, suspek itu yang juga pengasuh ditahan jam 8 malam kelmarin selepas hadir ke balai polis.

“Siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Kedah bekerja di taska itu sejak empat bulan lalu dan dia kini dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Anbalagan berkata, kejadian itu hanya disedari selepas bapa saudara mangsa menjemput kanak-kanak terbabit pulang dari taska berkenaan.

“Ketika itu, bapa saudaranya mahu mengangkat mangsa ke atas motosikal namun kanak-kanak terbabit mengadu tangan kanannya sakit.

“Bapa saudara mangsa kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati tangan kanak-kanak itu bengkak dan dia memaklumkan perkara itu kepada bapa mangsa,” katanya.

Menurutnya, bapa mangsa kemudian membawa anaknya itu ke hospital dan doktor mengesahkan tulang lengan tangan kanan kanak-kanak terbabit retak.

“Berikutan itu, bapa mangsa yang mengesyaki sesuatu berlaku terhadap anaknya ketika berada di taska membuat laporan polis.

“Susulan itu, polis kini sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati pemilik taska sudah menjalankan perniagaan itu sejak lapan tahun lalu dan kini memiliki dua lagi cawangan iaitu di Teluk Kumbar dan Bayan Lepas.

Berita Harian X