Selasa, 7 Ogos 2018 | 5:37pm
ANTARA kereta yang ditahan kerana dipercayai terbabit dalam perlumbaan di kawasan Autocity pada sidang media Op Samseng Jalanan Khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang. - Foto Rasul Azli Samad

'Berlumba' ke IPK

MELAKA: Ratusan pelumba kereta yang bersedia memulakan perlumbaan, terpaksa membatalkan hasrat mereka selepas lokasi perlumbaan diserbu polis dalam Op Samseng Jalanan Khas di kawasan Autocity, Alor Gajah, di sini.

Difahamkan, dalam serbuan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri bermula jam 1 hingga jam 5 pagi Ahad lalu itu, tiga pemandu kereta sedang berlumba drag, manakala selebihnya menunggu giliran untuk beraksi.

Selain negeri ini, perlumbaan itu disertai pelumba dari Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.

Ketua Polis negeri, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah, berkata tangkapan dilakukan selepas JSPT membentuk satu pasukan khas bagi membanteras perlumbaan haram di negeri ini.

“Dalam operasi ini, kami menahan 79 kenderaan daripada ratusan buah yang berada di lokasi.

“Ketika serbuan, tiga pemandu sedang berlumba, manakala yang lain sedang menunggu giliran, termasuk ada juga yang menjadi penonton,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Bukit Beruang, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua JSPT negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah.


RAJA Shahrom (tengah) melihat kenderaan yang sudah diubahsuai pada sidang media Op Samseng Jalanan Khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Bukit Beruang. - Foto Rasul Azli Samad

Raja Shahrom berkata, sebanyak 77 kereta pelbagai jenama ditahan di IPK negeri, manakala dua lagi mempunyai nombor casis berbeza dengan nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan.

“Dua kereta itu kemudian diserahkan kepada unit curi kenderaan untuk siasatan lanjut, manakala 77 lagi disita mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis turut menahan tiga lelaki berusia 20, 24 dan 35 tahun yang sedang berlumba ketika serbuan dan mereka direman dua hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 81(2) dan Seksyen (3) APJ 1987,” katanya.

Ditanya sama ada perlumbaan haram itu membabitkan pertaruhan, Raja Shahrom berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut, namun percaya setiap perlumbaan pasti ada habuan.

“Dalam operasi ini, seramai 191 individu diperiksa dan sebanyak 34 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, kesalahan nombor pendaftaran, ubah suai ekzos dan tiada lampu brek ketiga.

“Selain itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan sebanyak 52 saman,” katanya.

Berita Harian X