Isnin, 6 Ogos 2018 | 3:06pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi, Tan Hong Pin (dua dari kanan) melihat barang-barang kes berkaitan perjudian online yang dirampas oleh Majlis Perbandaran Kluang (MPK) di Wisma MPK Kluang. - Foto Adnan Ibrahim
PENGERUSI Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi, Tan Hong Pin (dua dari kanan) melihat barang-barang kes berkaitan perjudian online yang dirampas oleh Majlis Perbandaran Kluang (MPK) di Wisma MPK Kluang. - Foto Adnan Ibrahim

Pasukan khas tangani judi dalam talian, isu sosial

KLUANG: Satu pasukan khas dicadang ditubuhkan bagi menangani gejala sosial, khususnya perjudian secara dalam talian.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Johor, Tan Hong Pin, berkata cadangan itu perlu diperhalusi berikutan tanggungjawab yang perlu dihadapi pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, Majlis Perbandaran Kluang (MPK) melakukan sebanyak 179 operasi secara bersendirian, manakala 53 operasi bersepadu bermula November 2015 hingga 31 Julai tahun ini.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 240 premis berkaitan judi secara dalam talian, kedai makan warga asing dan penjualan vape dikenakan tindakan 2,665 kompaun berjumlah RM2.27 juta.

"Tindakan menyita dan menutup premis dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 49 Pelesenan Tred Perniagaan dan Industri MPK 2017 dengan nilai barang sitaan sebanyak RM700,000," katanya pada sidang media di Wisma MPK, dekat sini hari ini.

Hong Pin berkata, melihat kepada penugasan Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan MPK, sewajarnya satu pasukan khas yang lengkap dengan kemahiran perisikan ditubuhkan agar tumpuan menangani masalah perjudian dalam talian dapat diatasi sepenuhnya.

"Pasukan ini juga akan berperanan untuk mengatasi masalah lain seperti vandalisme yang membabitkan kepentingan awam di seluruh Johor.

"Menerusi tindakan ini, ia membuktikan kesungguhan kerajaan negeri mengatasi masalah berkaitan yang memberikan implikasi buruk kepada masyarakat," katanya.

Hong Pin berkata, kejadian simbah cat ke atas rumah seorang pegawai penguat kuasa MPK, baru-baru ini, bukan menjadi halangan kepada PBT untuk melaksanakan undang-undang, sebaliknya ia menjadi cabaran yang akan menguatkan lagi semangat mereka.

Berita Harian X