Sabtu, 4 Ogos 2018 | 12:43am
ANGGOTA bomba berusaha memotong tapak lantai gelungsur untuk mengeluarkan jari kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang tersepit di Taman Permainan Taman Delima Fasa 5. - Foto Ihsan Bomba

20 minit jari tersepit di lubang papan gelungsur

JITRA: Anggota bomba mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan jari tangan seorang kanak-kanak lelaki yang tersepit pada lubang papan gelungsur di taman permainan di Taman Delima, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Bustan Karudin, berkata pihaknya tiba di lokasi beberapa minit kemudian selepas menerima panggilan jam 7.25 malam.

Beliau berkata, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Che Kob Che dan tujuh anggota memberi bantuan kecemasan kepada kanak-kanak malang itu.

"Kami menggunakan peralatan khas iaitu alat pemotong hidraulik untuk memotong tapak lantai gelungsur itu bagi membolehkan jari kanak-kanak itu dikeluarkan dengan mudah.

"Usaha itu dilakukan selepas pelbagai alternatif yang dilakukan sebelum itu gagal," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Bustan berkata, operasi tamat setengah jam kemudian selepas jari kanak-kanak itu selamat dikeluarkan.

"Kanak-kanak terbabit juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudahpun ditenangkan keluarganya," katanya.

Berita Harian X