Khamis, 2 Ogos 2018 | 5:27pm
SEBUAH bot kargo milik sebuah syarikat dariFilipina karam selepas terlanggar terumbu karang di barat Beting Banggi Tenggara, berhampiran Malawali Strangler, Kudat. - Foto Ihsan APMM
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya selamatkan kesemua mangsa termasuk tekong warganegara Filipina, selepas bot mereka naiki melanggar terumbu karang di barat Beting Banggi Tenggara, berhampiran Malawali Strangler, Kudat. - Foto Ihsan APMM
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya selamatkan kesemua mangsa termasuk tekong warganegara Filipina, selepas bot mereka naiki melanggar terumbu karang. - Foto Ihsan APMM
KESEMUA mangsa berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim malaysia. - Foto Ihsan APMM

10 nyaris maut bot langgar terumbu

KUDAT: Seramai 10 kru bot kargo perdagangan tukar barang nyaris maut selepas bot dinaiki mereka terkandas dan hampir karam selepas terlanggar terumbu karang di 0.6 batu nautika barat Beting Banggi Tenggara, berhampiran Malawali Strangler, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, semua kru warga Filipina termasuk tekong berusia antara 21 hingga 55 tahun diselamatkan oleh bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan bot nelayan yang berada di lokasi kejadian.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Leftenan Komander Maritim Boon Chin Chau, berkata bot terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Labuan menuju ke Pulau Jolo, Filipina.

"Difahamkan, bot kargo itu membawa muatan gula dan barangan runcit ke selatan Filipina namun ketika dalam perjalanan, ia terlanggar terumbu karang menyebabkan mereka terkandas dan hampir karam.

"Maritim Malaysia menerima panggilan pada jam 2 pagi berhubung kejadian itu dan mereka berjaya diselamatkan oleh anggota kami dan nelayan berhampiran," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Boon, semua kru terbabit dalam keadaan selamat dan dibawa ke pejabat Maritim Malaysia Zon Kudat untuk diambil keterangan.

"Semua mangsa selamat tiba di jeti jam 2 petang dalam keadaan laut yang bergelora disusuli hujan serta angin kencang. Difahamkan, menurut ejen kapal jumlah kerugian dialami dianggarkan RM1.4 juta," katanya.

Chin Chau berkata, pihak Martim Malaysia sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia memberi sebarang bantuan sekiranya berlaku kejadian kecemasan di perairan negara.

"Bagaimanapun, dalam masa sama, kita mengingatkan kepada komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dengan memakai jaket keselamatan serta memastikan visel dalam keadaan baik sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

"Ini bagi mengelak kejadian tidak diingini dan orang ramai juga dinasihatkan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Kudat di talian 088-611858 jika mempunyai sebarang maklumat berhubung jenayah atau kemalangan di perairan," katanya.

Berita Harian X