Selasa, 17 Julai 2018 | 9:44pm
KENYATAAN Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di laman rasmi Facebook.
KENYATAAN Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di laman rasmi Facebook.

Lebih RM1 juta baja seleweng dirampas

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas 18,927 beg baja dianggarkan bernilai RM 1,001,356 di sebuah premis di Batu 17, Guar Chempedak, Kedah, kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dalam satu kenyataan berkata pemiliknya dipercayai melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 dan mengesahkan baja yang dirampas adalah baja dibekalkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melalui kontrak kerajaan di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP).

"Satu serbuan di sebuah premis yang didaftarkan di atas nama Perniagaan Bekalan Cekap di Batu 17, Jalan Sedaka, Guar Chempedak, dijalankan KPDNHEP dengan kerjasama SPRM jam 9.25 pagi semalam. Pihak KPDNHEP dan SPRM mendapati bahawa pemilik ini melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta NAFAS mengesahkan bahawa baja yang dirampas adalah baja yang dibekalkan oleh NAFAS melalui kontrak kerajaan di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP)," katanya.

Menurut kenyataan, baja yang dirampas itu dibiayai di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan yang dikhaskan untuk kegunaan pesawah padi di seluruh negara dan bertujuan untuk mengurangkan kos pengeluaran di samping meningkatkan pendapatan mereka.

"Dalam serbuan ini, jumlah baja yang dirampas sebanyak 18,927 beg yang dianggarkan bernilai RM 1,001,356. Barang rampasan (baja) ini adalah bahan bukti operasi dan ia dipindahkan ke suatu lokasi simpanan yang dikawal oleh pihak keselamatan.

"Ini rampasan kedua bulan ini dan kementerian amat kesal dengan penyelewengan serta salahguna baja yang sepatutnya dimanfaatkan oleh pesawah. Dengan kerjasama KPDNHEP dan SPRM, Kementerian akan terus memerangi ketirisan dalam membelanjakan peruntukan kerajaan disamping memastikan kegiatan tidak berintegriti ini dihapuskan sama sekali.

"Siasatan lanjut akan dijalankan bagi memastikan pihak yang terbabit dalam kegiatan penjualan baja di pasaran gelap dibawa ke pengadilan. Makluman mengenainya akan dikeluarkan sebaik siasatan ini selesai kelak," katanya.

Berita Harian X