Isnin, 16 Julai 2018 | 5:19pm
BEKAS Setiausaha Akhbar Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad (tengah) bersama peguamnya Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos (kanan) dan Peguam Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Mohamed Haniff Khatri Abdulla (kiri) selepas kes saman terhadapnya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi

Kes Mukhriz saman Tengku Sharifuddin selesai

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah dikemukakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir terhadap bekas Setiausaha Akhbar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad, diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi hari ini.

Ia berikutan Tengku Sharifuddin mengemukakan permohonan maaf terhadap Mukhriz pada prosiding di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Dalam pernyataan maaf yang dibacakan dalam kamar hakim, Tengku Sharifuddin berkata, beliau kesal kerana mengeluarkan empat kenyataan media pada 15, 20, 23 & 26 April 2016 yang merujuk kepada Mukhriz.

Tengku Sharifuddin berkata, ia adalah kerana kenyataan itu kurang tepat dan boleh disalah tafsir.

"Saya dengan ini menarik balik keseluruhan kenyataan media itu dan kandungan di dalamnya dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

"Saya juga mengucapkan sekalung tahniah atas pelantikan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah selepas pilihan raya baru-baru ini dan mendoakan Datuk Seri dapat menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab kepada rakyat Kedah khususnya dan rakyat Malaysia amnya atas mandat besar yang diberikan oleh rakyat.

"Saya sesungguhnya berharap Datuk Seri dapat menerima permohonan maaf saya dalam pengeluaran keseluruhan kenyataan media ini dan kandungan di dalamnya demi masa depan negara yang lebih aman dan damai," katanya.

Ahmad Zaidi kemudian merekodkan penyelesaian saman berkenaan.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mukhriz ketika ditemui pemberita, berkata antara terma penyelesaian kes ialah kedua-dua pihak tidak mempunyai kebebasan untuk memfailkan semula kes saman yang sama.

Dalam prosiding itu, Tengku Sharifuddin diwakili Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos. Mukhriz, 53, memfailkan saman itu pada 3 Mei 2016 kerana mendakwa Tengku Sharifuddin mengeluarkan empat kenyataan fitnah terhadapnya.

Empat kenyataan itu bertajuk Prime Minister's Press Secretary Statement on Donation Confirmation by Saudi Arabian Foreign Minister, Prime Minister's Press Secretary Statement on Former DPM's Reuters Interview, 'Mukhriz Mahathir Statement: Response by Prime Minister's Press Secretary' dan Prime Minister's Press Secretary Statement on Tun Dr Mahathir Mohamed and Mukhriz Mahathir.

Mukhriz mendakwa, kenyataan fitnah itu membawa maksud Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkomplot dalam kempen jahat bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah dan plaintif (Mukhriz) masih terbabit secara langsung dalam komplot itu.

Dalam pernyataan pembelaannya pula, Tengku Sharifuddin berkata, beliau tidak pernah berniat jahat atau 'malice' dalam menerbitkan kenyataan media itu tetapi ia diterbitkan untuk pengetahuan dan kepentingan rakyat Malaysia.

Berita Harian X