Khamis, 12 Julai 2018 | 6:38pm
LOKASI seorang suspek lelaki berusia 28 tahun yang bertindak menikam dan mencekik seorang kerani wanita sehingga mati, di Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad, Kuala Langat. - Foto Faiz Anuar
LOKASI seorang suspek lelaki berusia 28 tahun yang bertindak menikam dan mencekik seorang kerani wanita sehingga mati, di Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad, Kuala Langat. - Foto Faiz Anuar
SUSPEK kes bunuh rakan sekerja di Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad direman selama tujuh hari bermula hari ini. - Foto Faiz Anuar
SUSPEK kes bunuh rakan sekerja di Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad direman selama tujuh hari bermula hari ini. - Foto Faiz Anuar

Suspek bunuh rakan sekerja direman 7 hari

SHAH ALAM: Suspek kes bunuh rakan sekerja di Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, suspek yang baru tiga bulan bekerja di kolej terbabit direman sehingga 18 Julai depan.

"Ini kes 'clear cut' (yang jelas) kerana suspek sendiri menghubungi polis dan mengaku membunuh mangsa dan seperti kita tahu, ada provokasi melampau mengakibatkan beliau bertindak sedemikian.

"Suspek direman selama tujuh hari, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita di di Auditorium Menara 1, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Serah terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor di antara Asisten Komisioner, Nor Azman Muhammad Yusuf dengan Asisten Komisioner, Harjinder Kaur Gurdial Singh.

Mazlan juga mengesahkan suspek mempunyai laporan perubatan berkaitan psikatri dan menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi tidak diduga yang menimpa mangsa.

Semalam, NSTP melaporkan suspek lelaki berusia 28 tahun itu bertindak menikam dan mencekik seorang kerani wanita sehingga mati.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mayat mangsa, Zaimah Mahmod, 57, ditemui di stor pejabat sekolah berkenaan akibat ditikam dengan pisau oleh suspek yang juga rakan sekerjanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada suspek yang mengaku baru membunuh mangsa.

Menurut beliau, suspek yang juga pembantu makmal sekolah itu dipercayai berdendam kerana sering kali disindir mangsa.

Berita Harian X