Isnin, 9 Julai 2018 | 7:51pm
MUHAMMAD Shafee Abdullah. - Foto Asyraf Hamzah
MUHAMMAD Shafee Abdullah. - Foto Asyraf Hamzah

Shafee nafi kos guaman RM2.4 juta

KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, menafikan kos guam bagi kes pecah amanah dan salah guna kuasa yang dihadapi bekas Perdana Menteri, adalah sebanyak RM2.4 juta.

Perkara itu dinafikan Muhammad Shafee, ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam, yang memaklumkan dalam sidang media pagi tadi, kos guaman Najib berjumlah RM2.4 juta.

"Tidak betul...kita belum membincangkan mengenai kos guaman lagi," katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Terdahulu, Lokman ketika ditemui media di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, berkata pihaknya akan meneruskan kutipan dana bagi membantu Najib membayar kos guaman yang dianggarkan berjumlah RM2.4 juta.

"Tabung berkenaan diwujudkan selepas menyedari Najib dalam rayuan ikat jamin mencagar rumahnya bagi membayar wang jaminan RM1 juta yang ditetapkan Mahkamah Tinggi, Rabu lalu

"Setakat ini, Tabung Solidariti bebaskan Najib Razak berjaya mengumpul dana sebanyak RM500,000 bagi membayar baki wang jamin dikenakan Mahkamah Tinggi terhadap Najib," katanya.

Terdahulu, dua anak Najib iaitu Nooryana Najwa dan Norashman membayar baki ikat jamin bapa mereka berjumlah RM500,000 di kaunter pembayaran ikat jamin.

Norashman dan Nooryana tiba di Kompleks Mahkamah di sini, tepat jam 10.14 pagi dengan ditemani suaminya, Daniyar Kesikkba.

Sementara itu, Lokman berkata, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan tiga akaun milik anak Najib, termasuk cucunya adalah tidak wajar.

Katanya, pembekuan akaun seseorang hanya boleh dilakukan sekiranya mereka terbabit dalam aktiviti keganasan, penggubahan wang haram atau ahli kongsi gelap

"Kalau SPRM mahu membekukan akaun seseorang, mereka seharusnya sudah menjalankan siasatan secara terperinci, malah SPRM turut bertindak membekukan akaun anak sulung Najib, Puteri Norlisa yang kini menghidap penyakit kanser.

"Pembekuan akaun bank itu menyebabkan beliau (Puteri Norlisa) tidak boleh menjalani rawatan kimoterapi dan tindakan itu membebankannya." katanya.

Lokman berkata, tindakan membekukan ketiga-tiga akaun berkenaan termasuk akaun UMNO Pekan, Pahang adalah berniat jahat.

Berita Harian X