Isnin, 9 Julai 2018 | 5:12pm
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bercakap kepada wartawan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur ketika urusan ikat jamin. - Foto Asyraf Hamzah
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bercakap kepada wartawan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur ketika urusan ikat jamin. - Foto Asyraf Hamzah

Najib selesai bayar wang jaminan

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selesai membuat pembayaran sebahagian baki wang jaminan RM500,000 di Pejabat Pendaftaran jenayah Mahkamah Tinggi sebentar tadi.

Beliau yang tiba pada jam 11.43 pagi bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Kompleks Mahkamah ini sebelum masuk ke dalam pejabat itu dan keluar lima minit kemudian selepas selesai menandatangani dokumen jaminan.

Sebelum beredar Ahli Parlimen Pekan itu berkata beliau menerima bantuan daripada semua peringkat dari Ketua Bahagian sehingga ahli biasa.

"Sebelum saya ke sini pun ada Umno Bahagian Tumpat datang untuk menyerahkan sumbangan. Ini menandakan bahawa ahli Umno dan rakyat menunjukkan kasih sayang kepada pemimpin.

"Mudah-mudahan dengan doa restu semua, saya dan keluarga dapat melalui ujian besar ini, InsyaAllah dengan izin Allah. Ini adalah sumbangan yang bermakna dan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kerana sumbangan ini terbit dari hati nuraini yang ikhlas. Terima kasih sekali lagi mudahan Allah melindungi kita dan keluarga saya," katanya

Terdahulu, dua anak Najib iaitu Norashman dan Nooryana Najwa serta menantunya Daniyar Kessikbayev tiba di perkarangan mahkamah pada jam 10.04 pagi.

Ketibaan Najib disambut lebih 80 penyokongnya yang melaungkan "Hidup Najib" dan"Bebas Najib".

Peguam Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tiba pada jam 11.30 pagi.

Pada 4 Julai lalu, Najib, 65, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM42 juta membabitkan syarikat SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta dan dibayar secara ansuran.

Berita Harian X