Jumaat, 6 Julai 2018 | 5:28pm
MANGSA cuba bunuh diri yang berumur 44 tahun dari Kampung Batu Jong dibawa ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk rawatan. - Foto Ihsan Pembaca
MANGSA cuba bunuh diri yang berumur 44 tahun dari Kampung Batu Jong dibawa ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk rawatan. - Foto Ihsan Pembaca

Pekerja kilang kayu cuba bunuh diri

KUALA KRAI: Tidak berupaya menghadapi masalahan tekanan jiwa, seorang pekerja kilang kayu cuba membunuh diri dengan mengelar leher, perut dan pergelangan tangan kiri dengan pisau di Batu Jong di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa berusia 44 tahun itu ditemui terbaring di atas tilam dalam keadaan berlumuran darah oleh adik perempuannya.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning berkata, sebelum kejadian adik mangsa, ke rumah abangnya yang tinggal bersama seorang lagi adik lelaki yang mengalami masalah mental.

Katanya, apabila tiba di rumah mangsa, dia mendapati keadaan di dalam rumah abangnya gelap.

"Selepas membuka lampu, saksi melihat abangnya terbaring di atas tilam dalam keadaan berlumuran darah di beberapa bahagian badan. Dia turut menemui sebilah pisau berukuran 28 sentimeter berhampiran kaki mangsa.

"Mangsa turut memberitahunya, dia cuba membunuh diri sejak jam 1.30 tengah hari.

"Adik mangsa terus menghubungi ahli keluarga lain untuk hubungi polis dan hospital," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian dikejarkan ke HKK untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

"Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian mendapati tiada kesan pergelutan dan semua barang di dalam rumah tidak terusik.

"Doktor yang merawat mangsa memaklumkan, mangsa mengakui cuba membunuh diri berikutan tertekan tinggal bersama adik lelakinya yang mengalami masalah mental," katanya.

Berita Harian X