SHAH ALAM: Pelbagai alat ganti tiruan menggunakan jenama Kia dan Hyundai berjumlah RM24,060 dirampas dalam operasi di sekitar negeri ini sejak semalam hingga hari ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor Azman Adam berkata, operasi itu turut disertai wakil cap dagang kedua-dua jenama dari Korea Selatan itu bermula jam 10 pagi semalam dan berakhir hari ini di sekitar Lembah Klang.
Menurutnya, hasil operasi terbabit pihaknya merampas 123 barangan tiruan jenama berkenaan seperti tali sawat, gelung pencucuh, penapis minyak, penapis udara dan penapis bahan api.
"Serbuan dilakukan selepas menerima aduan awam dan penguat kuasa KPDNKK menyerbu premis menjual alat ganti di Gombak, Shah Alam dan Puchong.
"Serbuan dilakukan di enam lokasi namun selepas diperiksa hanya dua saja premis yang menjual barangan menggunakan cap dagangan palsu," katanya pada sidang media di pejabat KPDNKK Selangor di sini hari ini.
Turut hadir Pengurus Perlindungan Harta Intelek Hyundai Mobis Co Ltd, Jaeho Lee.
Mengulas lanjut, Azman berkata, harga alat ganti tiruan itu dipercayai dijual pada harga hampir sama dengan barangan tulen.
"Terdapat sebuah premis alat ganti yang sudah beroperasi lebih lima tahun selain barangan tiruan, mereka juga menjual alat ganti tulen.
"Alat ganti yang dijual juga tidak diletakkan tanda harga bagi mengaburi orang ramai," katanya.
Azman berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan premis yang menjual barangan tiruan dan berharap orang ramai hanya membeli alat ganti daripada wakil pengedar sah saja.
"Kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan sabit kesalahan boleh didenda RM15,000 untuk setiap unit barangan yang disita bagi pertubuhan.
"Jika kesalahan dilakukan orang perseorangan, mereka boleh didenda RM10,000 bagi setiap unit barangan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.