Rabu, 27 Jun 2018 | 6:09pm

Penuntut kolej maut dipercayai tembak diri

KUALA LUMPUR: Seorang penuntut lelaki ditemui maut dipercayai menembak diri sendiri menggunakan pistol, di tandas sebuah kolej swasta di Subang Jaya, pada jam 5 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari, berkata, mangsa yang juga pelajar di kolej terbabit disyaki melarikan sepucuk pistol dari sebuah kelab menembak, kira-kira dua jam sebelum kejadian.

"Mangsa ditemui mati oleh tukang cuci kolej berkenaan di dalam tandas yang berkunci, manakala pistol berada di atas lantai tandas itu.

"Pekerja terbabit kemudian melaporkan kepada penyelia sebelum laporan polis dibuat," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang berusia 19 tahun, baru 10 bulan mengikuti pengajian di kolej terbabit.

"Siasatan mendapati ayah pelajar berkenaan memaklumkan bahawa mangsa mengalami masalah kemurungan sejak setahun lalu.

"Mangsa juga adalah ahli kelab menembak di Petaling Jaya sejak 2015. Sebelum kejadian, mangsa dikatakan ke kelab menembak itu sebelum disyaki melarikan pistol jenis Walther milik kelab berkenaan," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati tiada unsur jenayah berhubung kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Berita Harian X