Isnin, 11 Jun 2018 | 3:13pm

Polis periksa banglo di Putrajaya

PUTRAJAYA: Sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman melakukan pemeriksaan di dua rumah, masing-masing banglo dua tingkat di Presint 10 dan rumah berkembar dua tingkat di Presint 11, di sini, dipercayai mempunyai kaitan dengan bekas pemimpin negara, hari ini.

Dalam serbuan pertama di banglo berkenaan, tinjauan NSTP di luar kediaman berkenaan mendapati, lebih 10 anggota polis berpakaian biasa berada dalam kediaman itu termasuk memeriksa kotak-kotak besar yang di disimpan di rumah berkenaan.

Malah, beberapa anggota polis dilihat turut memindahkan tiga kotak besar ke dalam sebuah van.

Difahamkan, anggota berkenaan mula menggeledah kediaman yang tidak berpenghuni itu sejak jam 1.25 tengah hari sebelum beredar sekitar jam 3.10 petang menaiki empat kereta polis jenis Proton Preve serta sebuah van jenis Toyota.

Bagaimanapun, beberapa anggota polis dilihat masih berada di kediaman itu untuk mengawal keadaan.

Sementara itu, seorang pesara kerajaan yang juga penduduk berhampiran kediaman berkenaan berkata, kediaman itu dikatakan sudah tidak didiami sejak setahun lalu.

Menurutnya, kediaman berkenaan di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan ia terletak hanya kira-kira 200 meter dari Kompleks Seri Perdana iaitu kediaman rasmi Perdana Menteri.

Lebih 30 pengamal media tempatan mula berkumpul di hadapan rumah berkenaan sejak 1.30 tengah hari bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai operasi geledah di kediaman itu.

Presint 10 adalah kawasan kediaman mewah persendirian dan kuarters kerajaan yang dihuni pegawai-pegawai tinggi kerajaan termasuk menteri, Ketua Setiausaha Negara dan ketua-ketua setiausaha kementerian ketika era pemerintahan kerajaan terdahulu.

Dalam serbuan kedua di rumah berkembar berkenaan, pasukan serbuan tiba kira-kira jam 3.20 petang sebelum beredar tidak lama kemudian.

Difahamkan, anggota JSJK sudah seminggu berada di kediaman berkenaan untuk melakukan siasatan lanjut yang dipercayai ada kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).

ANGGOTA Pasukan JSJK Bukit Aman melakukan pemeriksaan di sebuah kediaman kuarters di Presint 10, Putrajaya dipercayai ada kaitan dengan bekas pemimpin negara. - Foto Abd Rahim Rahmat

ANGGOTA Pasukan JSJK Bukit Aman mengangkat kotak yang dipercayai mengandungi dokumen penting ketika melakukan pemeriksaan di sebuah kediaman di Presint 10, Putrajaya. - Foto Abd Rahim Rahmat
ANGGOTA Pasukan JSJK Bukit Aman mengangkat kotak yang dipercayai mengandungi dokumen penting ketika melakukan pemeriksaan di sebuah kediaman di Presint 10, Putrajaya. - Foto Abd Rahim Rahmat
PASUKAN JSJK Bukit Aman beredar selepas melakukan pemeriksaan di sebuah kediaman di Presint 10, Putrajaya, dipercayai ada kaitan dengan bekas pemimpin negara. - Foto Abd Rahim Rahmat
Berita Harian X