Khamis, 7 Jun 2018 | 8:22am

Lelaki maut dengan lengan hampir putus ditetak

PETALING JAYA: Lengan kiri mangsa yang maut diserang sekumpulan lelaki dalam kejadian di Jalan PJS 2B/3, Metro Square, PJS 2 di sini, tengah malam tadi hampir putus ditetak suspek menggunakan senjata tajam.

Susulan daripada kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, polis menemui dua parang diselitkan di bawah kenderaan yang diletakkan berhampiran tempat mangsa di serang selain turut menahan dua lelaki.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohd Zani Che Din berkata, mangsa S Ravindran, 22, diserang berhampiran sebuah kedai cuci kereta, berhadapan blok 10, Desa Mentari 2, sebelum melarikan diri.

"Siasatan awal mendapati kejadian bermula di tempat cuci kereta berhadapan Blok 10, flet berkenaan. Ketika kejadian, mangsa sedang berada di atas motosikal dan diserang sekumpulan kira-kira 20 lelaki berusia dalam lingkungan 18 hingga 25 tahun menggunakan parang.

"Mangsa melarikan diri ke arah kawasan Metro Square dan terjatuh di tepi Jalan PJS 2B/3, dalam jarak kira-kira 200 meter dari tempat mangsa diserang, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati terdapat kecederaan kesan calar pada bahu sebelah kiri, di bawah lengan kiri terdapat kesan tetak dan terdapat luka di pergelangan tangan kiri.

"Siasatan lanjut menjumpai dua bilah parang jenis Brazil diselitkan di bawah kenderaan yang diletakkan berhampiran tempat mangsa di serang.

"Susulan daripada kejadian ini, pihak kami menahan dua lelaki berusia 30 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X