Rabu, 23 Mei 2018 | 4:34pm

Deja Moss, suami cari jalan damai

KUALA LUMPUR: Penyanyi Deja Moss dan suaminya, Azfendy Azzuddin Ahmad diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini supaya melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes perceraian mereka.

Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin memerintahkan demikian selepas kes disebut di hadapannya dalam kamar dengan dihadiri kedua-dua pihak.

Pada prosiding itu, Azfendy tidak diwakili peguam manakala Deja diwakili peguam syarie Halimatunsa'diah Abu Ahmad.

Permohonan cerai secara baik itu difailkan Azfendy pada 5 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mahkamah menetapkan 11 Julai ini untuk mendengar laporan JKP.

Dalam proses perceraian, JKP membabitkan anggota keluarga yang rapat dengan pasangan itu, bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.

Ketika ditemui media di luar mahkamah, Halimatunsa'diah memaklumkan pihaknya selaku defendan memohon JKP dilantik bagi memberi peluang kedua-dua pihak berbincang dengan lebih mendalam sebelum sebarang keputusan dibuat.

Sementara itu Deja berkata, banyak perkara belum diluahkan dan berharap dapat mencari jalan damai menerusi JKP.

"Kita cari jalan damai dulu, kalau dah tiada baru kita pergi ke peringkat seterusnya," katanya.

Deja mendakwa disekat oleh suaminya dalam semua medium, menyebabkan dia tidak dapat berkomunikasi dengan Azfendy.

Sebelum ini, suami Deja dilaporkan keluar rumah sejak 27 September 2017 dan tidak berhubung mulai tarikh itu.

Pasangan itu berkahwin pada 30 Ogos 2008 dan tidak dikurniakan anak.

PENYANYI, Deja Moss hadir pada sebutan kes permohonan cerai yang difailkan suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur. - Foto Hafiz Sohaimi
PENYANYI, Deja Moss hadir pada sebutan kes permohonan cerai yang difailkan suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur. - Foto Hafiz Sohaimi
Berita Harian X