Rabu, 23 Mei 2018 | 3:42pm
MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
MENTERI Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Azmin tarik balik rayuan

KUALA LUMPUR: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan di sini, hari ini berhubung saman mendesaknya Ketua Polis Negara membuat tindakan dan tangkapan terhadap ahli perniagaan, Low Taek Jho membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dimaklumkan peguam Menteri Besar Selangor itu, Latheefa Koya, yang berkata penarikan dibuat selepas mendapati kerajaan kini menunjukkan komitmen menyiasat skandal 1MDB dan penahanan Taek Jho atau Jho Low.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi di sini, menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan Mohamed Azmin yang kemudian mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Dalam permohonan itu, Mohamed Azmin menamakan Ketua Polis Negara sebagai responden.

Beliau memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden mengambil tindakan terhadap Jho Low bagi menghadapi tuduhan jenayah mengikut seksyen 409, 420 atau mana-mana berdasarkan undang-undang.

Mohamed Azmin mendakwa permohonan itu dibuat mengikut Aturan 53 Kaedah 3(2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Mohamed Azmin mendakwa Jho Low melakukan beberapa kesalahan membabitkan pecah amanah dan penipuan.

Beliau mendakwa Jho Low menyebabkan 1MDB kerugian secara salah atau secara alternatif dengan niat menyebabkan pihak ketiga (termasuk diri sendiri) mendapatkan keuntungan secara salah.

Berita Harian X