Rabu, 16 Mei 2018 | 1:30pm

Anggota Geng Tebuk Besi ditahan

BALIK PULAU: Dua penjenayah warga asing yang aktif melakukan kes pecah kilang dan sekolah berjaya ditahan polis di Bayan Lepas dan Bayan Baru, di sini, Ahad lalu.

Bagaimanapun dua lagi anggota Geng Tebuk Besi terbabit melarikan diri dan masih diburu polis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan, berkata geng berkenaan terdiri daripada warga Vietnam dan mereka menyasarkan peti besi di sekolah serta kilang untuk mencuri barang berharga.

Menurutnya, dalam kejadian 2.30 pagi Ahad lalu, empat penjenayah terbabit memecah masuk pejabat sebuah sekolah di Bayan Lepas.

"Bagaimanapun, perbuatan itu disedari pengawal keselamatan yang kemudian berjaya menahan seorang daripada suspek.

"Susulan daripada itu, polis berjaya menahan seorang lagi suspek pada 10.30 pagi hari yang sama," katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Menurutnya, dengan penahanan dua suspek terbabit, polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes pecah peti besi membabitkan kerugian RM235,000 di sekitar daerah ini.

"Kita turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah itu.

"Polis sedang giat mengesan dua lagi rakan mereka yang dipercayai masih berada di negeri ini," katanya.

Dua suspek yang masih bebas itu dikenali sebagai Do Van Thanh dan Pham Van Tu yang berusia 26 tahun.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di talian 04-8662222.

KETUA Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan (tengah) bersama pegawainya menunjukkan barang kes yang digunakan oleh Geng Tebuk Besi yang aktif melakukan kes pecah kilang dan sekolah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Balik Pulau. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
Berita Harian X