Khamis, 3 Mei 2018 | 3:30pm

Dua rakan dipenjara curi baju RM598

Petaling Jaya: Dua rakan dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku salah mencuri lima helai baju-T berjumlah RM598 di sebuah butik pakaian di kompleks beli-belah Sunway Pyramid, bulan lalu.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Hafizudin Ismail, 24, dan Razmie Razali, 23, selepas masing-masing mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap iaitu 28 April lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa mencuri lima helai baju-T milik butik Ripcurl keseluruhannya berjumlah RM598 di kompleks beli-belah Sunway Pyramid, di sini, pada jam 7 malam, 28 April lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua atau kemudian hendaklah dipenjara dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan kesalahan pertama dilakukan selain sudah menyesal dengan perbuatan mencuri.

Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat bahawa kesalahan sebegini adalah berat.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh yang dalam keadaan mencurigakan mengambil pakaian itu lalu masuk ke dalam bilik persalinan.

Mereka meletakkan pakaian itu di dalam beg kertas dan beredar meninggalkan butik Ripcurl sebelum pekerja menahan kedua-dua tertuduh.

Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua tertuduh tidak membuat bayaran semua baju-T itu.

Berita Harian X