Rabu, 2 Mei 2018 | 10:42pm
GAMBAR suspek yang disyaki terbabit dalam kes pecah tabung masjid di Batu 13 Jalan Hospital Jitra yang dirakam melalui CCTV. - Foto Tular FB
GAMBAR suspek yang disyaki terbabit dalam kes pecah tabung masjid di Batu 13 Jalan Hospital Jitra yang dirakam melalui CCTV. - Foto Tular FB

Tak cukup sekali pecah tabung masjid

JITRA: Tindakan seorang pencuri datang kali kedua untuk memecah tabung di sebuah masjid di Batu 13 Jalan Hospital Jitra, di sini mengundang padah apabila ditahan polis hari ini.

Lelaki berusia 22 tahun itu yang juga penduduk tempatan ditahan polis di hadapan masjid itu jam 11 pagi ini hasil maklumat daripada jemaah masjid berkenaan.

Menurut seorang jemaah masjid, suspek ketika itu dikatakan tertidur menyebabkan mereka sempat menghubungi polis untuk menangkapnya yang kelihatan sama seperti individu dalam kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan yang memecah tabung itu semalam.

"Kami sudah menular wajahnya di laman sosial selepas kejadian semalam sebaik mendapati sebuah tabung masjid di sini dipecahkan kerana bimbang kejadian sama berulang.

"Kami mengesyaki dia datang ke sini untuk melakukan kegiatan sama iaitu pecah tabung masjid," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun jemaah itu berkata, mereka sudah membuat laporan di Balai Polis Jitra berhubung kejadian semalam jam 11.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid itu yang berusia 55 tahun berhubung kehilangan wang tabung masjid itu yang dipecahkan.

Beliau berkata, pengadu dimaklumkan oleh seorang petugas masjid itu bahawa tabung yang berada di bahagian tengah masjid dipecahkan, namun ketika itu anggaran kecurian tidak pasti.

"Hasil rakaman CCTV mendapati suspek yang tidak dikenali memakai baju kemeja T warna hitam dan berseluar jeans dipercayai suspek memecah tabung masjid berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati suspek bertindak mengumpil tabung masjid yang berada di bahagian tengah itu menggunakan besi dan anggaran kerugian sekitar RM30 sahaja," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Ismail berkata, suspek ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu sejurus maklumat diterima.

Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Jitra esok untuk membantu siasatan kes itu.

"Suspek yang tidak bekerja itu dipercayai menetap di Kampung Pulau Timbul di sini dan siasatan akan dijalankan untuk mengetahui sama ada suspek mempunyai rekod lain dan sebagainya.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan," katanya.

Berita Harian X