Isnin, 30 April 2018 | 6:59pm
DUA pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang hilang selepas menyertai ekspedisi jelajah hutan di Jalan Ulu Bayong dijumpai selamat selepas menyertai ekspedisi jelajah hutan di Jalan Ulu Bayong di Sarikei, hari ini. - Foto Khalid Latip
DUA pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang hilang selepas menyertai ekspedisi jelajah hutan di Jalan Ulu Bayong dijumpai selamat selepas menyertai ekspedisi jelajah hutan di Jalan Ulu Bayong di Sarikei, hari ini. - Foto Khalid Latip

2 pelajar IPT ditemui selamat selepas 24 jam `sesat'

SARIKEI: Nasi putih berlauk sambal sardin dan kari ayam menjadi hidangan pertama dijamah dua pelajar Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) sebaik sahaja ditemui pasukan penyelamat petang tadi selepas 24 jam hilang ketika menyertai ekspedisi menjelajah hutan di Jalan Ulu Bayong, di sini semalam.

Ketua Balai Bomba Sarikei, Suna Kaha berkata kedua-dua mangsa, Azizan Amir Mohd Nizam, 21, dan Lister Emperang Matu, 25, ditemui dalam keadaan lemah serta kelaparan kira-kira jam 2 petang tadi oleh pasukan penyelamat.

"Mereka ditemui pada jarak satu kilometer dari lokasi asal program berkenaan diadakan. Kedua-duanya ditemui dalam keadaan lemah, manakala di seluruh badan mereka terdapat kesan gigitan serangga.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, dua pelajar itu dipercayai tersesat dan gagal mencari jalan keluar selepas terpisah dari kumpulan induk, selain keadaan persekitaran yang gelap," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sarikei, Pemangku Superintendan Awang Alfian Awang Bujang, berkata satu laporan polis dibuat di Balai Polis Jakar, di sini kira-kira jam 8 malam semalam oleh bapa salah seorang mangsa yang dilaporkan hilang.

Kedua-dua mangsa adalah sebahagian daripada 18 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang menyertai aktiviti menjelajah hutan di Jalan Ulu Bayong, di sini kelmarin.

"Kita dimaklumkan 20 individu masuk ke dalam hutan itu, namun hanya 18 daripada mereka berjaya keluar. Berikutan itu, rakan mangsa bergegas memaklumkan kejadian kepada penduduk kampung sebelum pencarian dilakukan dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela," katanya.

Katanya lagi, gerakan SAR kemudian dilancarkan jam 7.30 pagi tadi, dengan lokasi pencarian bertumpu di kawasan beradius dua kilometer dari kawasan hutan berkenaan, yang turut dibantu unit elit bomba, Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan Pasukan Multi Skill Team (MUST).

Berita Harian X