Jumaat, 27 April 2018 | 3:22pm

'Geng Kait' kena kaut

JASIN: Polis menahan tiga lelaki ahli Geng Kait selepas dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah di sekitar Merlimau, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Arshad Abu, berkata hasil tangkapan tiga suspek berusia 23 tahun hingga 27 tahun itu, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes pecah rumah di Merlimau .

Beliau berkata, tangkapan awal membabitkan dua suspek berusia 23 tahun dan 27 tahun, yang ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Taman Pulai Indah, Merlimau, kira-kira jam 6.30 petang, Rabu lalu hasil maklumat awam.

"Ketika dua suspek dikenali Mat Tajam dan Angah berusia 23 tahun dan 27 tahun itu ditahan, seorang daripadanya cuba melepaskan diri dengan melarikan diri ke atas bumbung rumah di kawasan kejiranan terbabit.

"Suspek yang memegang sebilah parang turut mengacukan senjata tajam itu ke arah polis, bagaimanapun dia berjaya ditangkap hasil bantuan penduduk setempat.

"Suspek cedera di bahagian lutut dan tapak kaki selepas terjun daripada bumbung rumah untuk melarikan diri. Dia dihantar ke Hospital Jasin sebagai pesakit luar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arshad berkata, susulan penahanan dua suspek itu, polis menahan seorang lagi suspek dikenali sebagai Wan, berusia 27 tahun di Sungai Rambai, di sini.

"Hasil soal siasat, sebilah parang dan seutas jam tangan jenama G-Shock yang dilaporkan hilang pada 26 Januari lalu di Taman Muhibah, Merlimau turut dirampas.

"Ujian air kencing mendapati semua mereka positif dadah jenis Methamphetamine, selain turut mempunyai rekod jenayah lalu berkaitan dadah, samun dan curi motosikal," katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman hingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 akta sama kerana ugutan jenayah.

Berita Harian X