Khamis, 26 April 2018 | 1:04pm

Dua didakwa membunuh kakak ipar

IPOH: Dua sahabat didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang suri rumah di sebuah rumah di Taman Permai, di sini dua minggu lalu.

Tertuduh Chong Ah Keong, 24, yang juga adik ipar kepada mangsa dan rakannya, remaja berusia 17 tahun didakwa melakukan kesalahan itu secara bersama antara jam 1.55 tengah hari hingga 2.05 petang 16 April lalu.

Kedua-duanya dituduh mencapai niat secara bersama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian T Iswari, 34, dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Dua rakan terbabit mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan kepada mereka oleh jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret Nurul Hafizah Mohammad Pauzi.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkod daripada kedua-dua tertuduh berkenaan yang diwakili peguam K Nahtan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar.

Nurul Hafizah kemudian menetapkan 26 Jun ini tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan patologi.

Media sebelum ini melaporkan dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian suri rumah ditemui dibunuh dengan leher dijerut tali nilon dalam kejadian samun di Taman Permai 16 April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, suspek berusia 17 dan 24 tahun ditahan pada 10 malam di sebuah rumah di Taman Lapangan Permai, Ipoh iaitu enam jam selepas kejadian.

Katanya, dalam tangkapan itu polis turut merampas beberapa barangan, termasuk barang milik mangsa yang disamun.

"Serbuan menemui beberapa barangan seperti satu rantai dan cincin berwarna keemasan, empat telefon bimbit, sebuah beg silang, satu topi keledar, beg duit dan sebuah motosikal Modenas Dinamik warna putih.

"Hasil siasatan lanjut, suspek mengaku menggadaikan barang kemas milik mangsa di sebuah kedai pajak gadai dengan nilai RM3,000 dan polis kemudian menahan seorang lelaki serta merampas semula barang kemas itu," katanya.

Menurutnya, dengan tertangkapnya dua suspek serta rampasan yang dibuat, polis berjaya menyelesaikan kes bunuh berkenaan dalam tempoh 24 jam dan motif bunuh itu dipercayai akibat perasaan tidak puas hati suspek terhadap mangsa.

DUA sahabat didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang suri rumah di sebuah rumah di Taman Permai, di sini dua minggu lalu. - Foto Abdullah Yusof
DUA sahabat didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang suri rumah di sebuah rumah di Taman Permai, di sini dua minggu lalu. - Foto Abdullah Yusof
Berita Harian X