Rabu, 25 April 2018 | 2:55pm

Dipenjara 4 tahun cederakan isteri

PETALING JAYA: Seorang penjaga stor dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas kesalahan mencederakan isterinya menggunakan pisau sehingga retak tulang hidung, selain menumbuk muka mangsa pada tahun lalu.

Hakim Azwarnida Affandi menjatuhkan hukuman itu ke atas K Vejeyen, 36, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan semula kes, hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap D Jayasutha, 38, seorang operator kilang, dengan cara melukakan hidungnya menggunakan sebilah pisau, iaitu senjata yang boleh menyebabkan kecederaan atau kematian.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Blok A, Persiaran Surian, Pelangi Damansara, Jalan PJU 6A/3A, Damansara di sini, pada jam 8.30 malam 8 Disember tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana dia perlu menyara keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazalina Razali, bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang tinggi dengan mengambil kira tertuduh sengaja memecah masuk rumah mangsa dan mendatangkan kecederaan terhadapnya.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, tertuduh didakwa memecahkan pintu rumah mangsa sebelum mengugut mahu membunuh wanita itu, selain menumbuknya di bahagian pipi dan hidung.

Tertuduh kemudian bertindak lebih agresif apabila cuba menikam mangsa, namun wanita itu sempat mengelak dan menjerit meminta pertolongan.

Jeritan wanita itu didengari jirannya yang kemudian menghubungi polis.

Berita Harian X