Jumaat, 13 April 2018 | 3:49pm

Jolok mulut isteri dengan pemutar skru

PETALING JAYA: Seorang pengawal keselamatan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan mengugut bunuh isterinya dan menjolok pemutar skru ke dalam mulut wanita itu, minggu lalu.

Tertuduh, M David Desan, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mabel S Muttiah.

Tertuduh yang memakai baju berwarna hitam itu kelihatan tenang di dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap V Eswari, 30, dengan niat ingin mendatangkan kegentaran kepadanya dengan mengacu sebilah pisau untuk membunuhnya.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia turut didakwa menjolok mulut isterinya dengan pemutar skru iaitu sejenis senjata yang menyebabkan kematian.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah unit rumah pangsa di Jalan BP 1/2, Bandar Bukit Puchong, Puchong, pada 11.30 malam, 7 April lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Zulkifli tidak menawarkan sebarang jaminan, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam juga tidak memohon sebarang jaminan.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X