Rabu, 11 April 2018 | 9:15pm

Pelajar Tingkatan Tiga nafi perkosa kenalan

AYER KEROH: Seorang pelajar Tingkatan Tiga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas enam pertuduhan merogol, melakukan seks luar tabii dan seksual fizikal terhadap kenalannya berusia 13 tahun, November tahun lalu.

Tertuduh berusia 16 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus semua pertuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Lee Kim Keat dalam prosiding tertutup.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan seksual fizikal ke atas mangsa yang berusia 13 tahun enam bulan ketika kejadian.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Tertuduh juga didakwa dengan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, iaitu merogol mangsa yang sama.

Selain itu, tertuduh juga didakwa membabitkan dua pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, iaitu melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Taman Seri Telok Emas, antara jam 8.45 malam 24 November hingga jam 2.35 petang, 29 November 2017.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria mencadangkan jaminan RM30,000 dengan dua penjamin masing-masing ibu dan bapa tertuduh, selain tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguambela Ishak Kari merayu jumlah jaminan yang rendah dikenakan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 serta menetapkan 10 Mei depan untuk tarikh sebutan semula kes,

Berita Harian X