Selasa, 10 April 2018 | 2:42pm
KETUA Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman. - Foto Muhammad Asyraf Sawal

Curi barang istana

KUANTAN: Polis menahan seorang lelaki berhubung kes kecurian 11 barangan di Istana Abu Bakar, Pekan termasuk cenderahati yang dipersembahkan kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, bulan lalu.

Lelaki yang juga penduduk tempatan berusia 45 tahun itu ditahan pada 3 April lalu selepas polis menemui cap jarinya di tempat kejadian.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7 Mac lalu dan menahan beberapa pekerja istana, namun dibebaskan dengan jaminan polis.

"Polis menjalankan siasatan terperinci dan menemui cap jari seorang individu yang bukan pekerja istana sebelum kita membuat tangkapan pada 3 April.

"Berdasarkan siasatan, suspek bersekongkol dengan seorang pekerja istana untuk masuk dan membawa keluar barangan berkenaan," katanya ketika ditemui pada Program Lawatan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sempena peringatan Hari Polis ke-211, di sini, hari ini.

Rosli berkata, suspek mengaku mencuri barangan berkenaan dan memecah barangan yang diperbuat daripada emas serta menjualnya di kedai emas di bandar Pekan.

"Polis melakukan serbuan terhadap sebuah kedai emas dan merampas blok emas yang bernilai kira-kira RM60,000," katanya.

Berita Harian X