Selasa, 10 April 2018 | 2:04pm
SEPASANG suami isteri, Datuk M Pandeyan (kanan) dan Datin C P Gouvri (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen di Klang, hari ini atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM46,200 daripada orang ramai tanpa lesen sah, dua tahun lalu. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
SEPASANG suami isteri, Datuk M Pandeyan (kanan) dan Datin C P Gouvri (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen di Klang, hari ini atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM46,200 daripada orang ramai tanpa lesen sah, dua tahun lalu. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Lelaki bergelar Datuk, isteri didakwa di mahkamah

KLANG: Seorang bekas ahli perniagaan bergelar Datuk dan isterinya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima wang berjumlah RM46,200 daripada orang ramai tanpa lesen sah, dua tahun lalu.

Tertuduh, Datuk M Pandeyan, 57, dan isterinya yang juga suri rumah, Datin C P Gouvri, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Datuk Unaizah Mohd.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu yang mempunyai seorang anak berusia 20 tahun, didakwa menerima deposit daripada orang ramai berjumlah RM46,200 tanpa lesen sah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Klang, dari Julai hingga September 2016.

Berikutan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda hingga RM50 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S Nithia, memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan.

Bagaimanapun, peguam bela pasangan suami isteri itu, Govin Durai memohon mahkamah memberikan jaminan berikutan kedua-dua tertuduh mempunyai masalah jantung dan asma, selain masih menerima rawatan.

Unaizah kemudian menetapkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 seorang dengan penjamin berlainan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Beliau turut menetapkan 10 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita Harian X