Jumaat, 6 April 2018 | 5:18pm

Geng Pikap akhirnya dicekup polis

BUKIT MERTAJAM: Sekumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Pikap yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah berjaya diberkas polis dalam satu serbuan di Kulim, Kedah, Rabu lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 4.30 pagi itu, kumpulan tiga lelaki berusia 22 sehingga 33 tahun berkenaan memecah masuk sebuah rumah di Taman Machang Bubok sehingga mangsa kerugian RM2,000.

Difahamkan, kumpulan itu berjaya melarikan diri dan hanya berjaya bersembunyi kurang 12 jam sebelum mereka dicekup polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, susulan kejadian terbaru itu mangsa membuat laporan polis sebelum ketiga tiga suspek diburu dan berjaya dikesan.

Nik Ros Azhan berkata, hasil maklumat risikan, suspek dikesan berada di Kulim, Kedah.

Katanya, susulan itu, polis melakukan serbuan di sebuah rumah di Taman Keranji, Kulim dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 23 tahun.

"Hasil soal siasat ke atas suspek, pada hari yang yang sama jam 9 pagi, polis berjaya memberkas dua lagi suspek lelaki berusia 22 dan 33 tahun di rumah yang sama," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, semakan rekod lampau juga mendapati kedua dua suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Nik Ros Azhan berkata, polis merampas dua keping loket emas, kenderaan pacuan empat roda Isuzu DMax, sebuah kereta KIA Spectra, peralatan pecah rumah dan barangan elektrik pelbagai jenama.

Menurutnya, siasatan awal ke atas kesemua suspek mendapati dua daripada mereka mengaku terlibat dalam kes pecah rumah yg dilaporkan di Taman Machang Bubok

Katanya, siasatan masih lagi dijalankan dan kesemua suspek ditahan serta kes disisiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Berita Harian X