Khamis, 5 April 2018 | 2:59pm

Peniaga haram lari bertempiaran, KPDNKK serbu Pasar Selayang

GOMBAK: Puluhan peniaga haram warganegara asing di Pasar Selayang bertempiaran melarikan diri apabila pasar itu diserbu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam operasi Ops NBOS dijalankan jam 8 pagi hingga 11 pagi tadi.

Malah, dalam operasi membabitkan 29 anggota penguat kuasa itu, kebanyakan peniaga warga asing dipercayai pelarian Rohingya serta warga negara Bangladesh dan Myanmar, bertindak meninggalkan barang jualan mereka sebaik melihat kenderaan milik penguat kuasa.

Antara barang yang ditinggalkan adalah tong berisi barang mentah seperti ikan, sotong dan sayur selain alat timbang dan plastik membungkus barangan dijual.

Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, dalam operasi itu, pegawai penguatkuasa KPDNKK mengenakan kompaun serta-merta ke atas dua peniaga, manakala pihak DBKL merampas barangan daripada 10 penjaja haram warga asing.

Katanya, pihaknya percaya maklumat operasi berkenaan berjaya 'dihidu' oleh kebanyakan peniaga asing lain yang bertindak menutup perniagaan sebelum penguat kuasa tiba.

"Dalam operasi pada pagi ini, dua peniaga dikenakan kompuan serta merta membabitkan nilai RM600, manakala sitaan telah dibuat oleh DBKL membabitkan 10 penjaja tanpa lesen warganegara asing.

"Kita percaya penjaja tanpa lesen (warga negara asing) ini mengurangkan aktiviti perniagaan mereka buat sementara waktu kerana isu peniaga asing di pasar ini tular di media sosial baru-baru ini.

"Selain itu, peniaga haram warga asing di Pasar Selayang juga dapat menghidu kehadiran penguatkuasa lebih awal berikutan ramai yang sudah melarikan diri lebih dan tidak berniaga pada hari ini," katanya ketika ditemui selepas operasi dijalankan.

Menurut Mohd Shahran, berdasarkan maklumat serta risikan, kebiasaannya terdapat puluhan peniaga haram warg asing berniaga di pasar berkenaan, termasuk di kaki lima.

Bagaimanapun, dalam operasi pagi tadi, hanya lebih kurang 17 peniaga haram warga asing yang masih menjalankan perniagaan.

"Kebanyakan yang masih berniaga seperti biasa tanpa rasa takut kehadiran penguat kuasa adalah pelarian Rohingya.

"Mereka ini tidak lari berikutan mempunyai kad pelarian UNHCR, manakala selebihnya yang melarikan diri dipercayai langsung tidak mempunyai dokumen masuk ke negara ini dan khuatir ditangkap," katanya.

Mohd Shahran berkata, pihak KPDNKK memberi fokus pada tanda harga serta penggunaan alat timbang manakala pihak DBKL fokus kepada penjaja tiada lesen bukan warganegara semasa operasi tersebut .

Katanya, dua kompaun serta merta membabitkan nilai RM600 itu pula dibuat mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972, manakala pihak DBKL telah membuat sitaan ke atas 10 penjaja adalah di bawah Undang-Undang Kecil 3(1) Penjaja Tanpa Lesen Bukan Warganegara.

Berita Harian X