Selasa, 3 April 2018 | 9:19pm

Dua ditahan calarkan Lamborghini Datuk

KUALA LUMPUR: Pasangan warga asing ditahan selepas mencalarkan kereta Lamborghini milik seorang Datuk yang diparkir di hadapan sebuah pusat beli belah di Bandar Sunway, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari, berkata kejadian itu disedari mangsa selepas diberitahu penjaga parkir pusat beli-belah itu.

"Mangsa kemudian bertanya kepada dua individu berkenaan namun suspek memarahi mangsa.

"Penjaga parkir berkenaan memaklumkan dua individu itu telah mencalarkan kenderaan milik mangsa kira-kira jam 9 malam," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Muhammad Azlin berkata, mangsa kemudian membuat laporan dan pasangan berkenaan yang juga warga asing ditahan pada hari yang sama.

"Mangsa kerugian RM20,000 akibat perbuatan khianat berkenaan.

"Pasangan terbabit kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X