Isnin, 2 April 2018 | 6:25pm

Bunuh diri di kedutaan

KUALA LUMPUR: Petugas dan pelawat di pejabat Kedutaan Vietnam di Persiaran Stonor di sini, gempar selepas seorang wanita berasal dari negara itu bertindak menikam dirinya dengan pisau, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi, wanita berusia 37 tahun itu pada mulanya datang ke pejabat kedutaan itu untuk bertanyakan mengenai dokumen perjalanan miliknya dengan staf di situ.

Mangsa kemudian diminta masuk ke pejabat konsulat kedutaan untuk berbincang mengenai borang pas keluar ke negara asalnya sebelum timbul ketegangan di antara mereka.

Wanita itu kemudian bertindak agresif dengan memarahi dan menjerit ke arah staf terbabit sebelum mengeluarkan sebilah pisau dari dalam beg dibawanya dan menikam dada kirinya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah, berkata beberapa staf dan pelawat di kedutaan terbabit bertindak mengejarkan mangsa ke hospital dengan menggunakan kereta.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kira-kira jam 1 petang. Siasatan masih diteruskan dan belum diklasifikasikan" katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Berita Harian X