Sabtu, 31 March 2018 | 8:18pm

Mengamuk kerana ibu tak beri duit

BATU PAHAT: Seorang lelaki ditahan polis di Taman Sri Jaya, di sini, selepas mengamuk memecahkan pintu dan tingkap kediaman ibu bapanya serta mengugut hanya kerana ibu tidak memberinya wang.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi, selain bertindak agresif, lelaki berusia 48 tahun itu juga mengugut akan memukul ibunya yang berusia 72 tahun sekiranya enggan menuruti kemahuannya.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata lelaki yang juga penganggur itu ditahan selepas ibunya meminta bantuan polis berikutan tindakan agresifnya itu.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek pernah terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pernah menjalani hukuman.

"Ketika kejadian hanya ibu dan lelaki berkenaan berada di dalam rumah manakala ayahnya sedang dirawat di wad Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat akibat terjatuh ketika bertengkar dengan anaknya itu pada Isnin lalu.

"Ibu suspek menghubungi polis untuk minta bantuan menahan anaknya yang mengamuk dengan merosakkan pintu, tingkap dan barang-barang lain di dalam rumah berkenaan.

"Sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima laporan sebelum menahan lelaki terbabit," katanya.

Abdul Wahib berkata, lelaki itu kini ditahan untuk siasatan lanjut sementara mendapatkan perintah reman esok.

Katanya, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Berita Harian X