Sabtu, 31 March 2018 | 10:42am

Pusat hiburan tawar GRO raih lebih RM1 juta sebulan

KUALA LUMPUR: Sebuah pusat hiburan di Jalan Sungai Besi di sini, dipercayai meraih pendapatan lebih RM1 juta setiap bulan dengan turut menawarkan pakej khidmat pelayan pelanggan (GRO) RM300 bagi tempoh empat jam dan jualan minuman keras.

Perkara itu terbongkar selepas pusat hiburan terbabit yang sudah beroperasi sejak 26 tahun, diserbu pihak berkuasa dalam Operasi Banteras Aktiviti Haram (Op BAH) Siri 43, awal pagi tadi.

Operasi bermula jam 1 pagi itu membabitkan 320 pegawai dan anggota daripada 27 agensi kerajaan serta 18 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut menyerbu sebuah lagi premis di Jalan Ipoh, di sini.

Ketua Penyelaras Op BAH, Azman Mahmood, berkata pihaknya menahan seramai 105 individu berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun atas pelbagai kesalahan dalam operasi berkenaan.

"Berdasarkan keterangan pekerja premis di Jalan Sungai Besi, mereka mengaku ada menawarkan khidmat GRO pada harga RM300 bagi tempoh empat jam dan jualan minuman keras memberangsangkan sehingga meraih jutaan ringgit sebulan dalam perniagaan pusat karaoke dijalankan.

"Malah, pusat hiburan itu turut didapati melanggar peraturan dengan menjalankan perniagaan selepas waktu operasi dibenarkan," katanya pada sidang media ketika mengetuai serbuan di premis berkenaan.


OPERASI Banteras Aktiviti Haram (Ops BAH) Siri 43 yang terdiri daripada PDRM, Imigresen, JAWI, DBKL, AADK dan beberapa NGO di pusat pusat hiburan sekitar Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin

Beliau berkata, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pula menahan 76 pengunjung dan pekerja di kedua-dua premis terbabit selepas didapati positif dadah jenis ganja serta Methamphetamine.

"Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) menahan 24 individu selepas didapati mengambil minuman keras mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 dan kesemua mereka diberikan kaunseling.

"Jabatan Imigresen menahan lima wanita terdiri daripada dua warga Vietnam serta masing-masing seorang warga Filipina, China dan Indonesia kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan tiga notis terhadap dua premis terbabit atas kesalahan beroperasi melebihi had masa dibenarkan dan mempamerkan iklan tanpa lesen.

"Jabatan Kastam pula merampas 70 minuman keras pelbagai jenama yang didapati dijual tanpa lesen dan dijual selepas waktu operasi di kedua-dua premis berkenaan, selain merampas lebih 300 minuman tin bir di pusat hiburan kedua atas kesalahan sama.

"Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengeluarkan satu notis kesalahan mengikut Akta Syarikat 2016 dalam operasi itu," katanya.

OPERASI Banteras Aktiviti Haram (Ops BAH) Siri 43 yang terdiri daripada PDRM, Imigresen, JAWI, DBKL, AADK dan beberapa NGO di pusat pusat hiburan sekitar Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin
OPERASI Banteras Aktiviti Haram (Ops BAH) Siri 43 yang terdiri daripada PDRM, Imigresen, JAWI, DBKL, AADK dan beberapa NGO di pusat pusat hiburan sekitar Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin
Berita Harian X