Khamis, 29 March 2018 | 5:14pm

Dadah 700 kg dalam lori buah

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Thailand petang semalam menahan dua rakyat Malaysia kerana disyaki cuba mengambil bekalan dadah sebanyak 700 kilogram (kg) syabu dari negara itu untuk diseludup ke negara ini.

Suspek berusia 35 dan 49 tahun itu ditahan susulan penahanan seorang lelaki Thailand bersama bekalan dadah berkenaan yang disorok dalam lori bermuatan nanas dan tembikai dipandunya di Pusat Pemeriksaan Chumphon, selatan negara itu, kira-kira jam 1.30 pagi hari yang sama.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang, berkata siasatan pihak berkuasa Thailand mendapati pemandu lori terbabit dipercayai dalam perjalanan untuk menemui kedua-dua suspek di Hatyai.

"Kedua-dua suspek warga Malaysia itu dikatakan akan mengambil bekalan dadah itu sebelum cuba diseludup ke negara ini melalui sempadan di utara tanah air.

"Bagaimanapun kegiatan itu terbongkar dan kedua-dua mereka ditahan di Hatyai petang semalam dan kini berada dalam tahanan pihak berkuasa Thailand," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Menurut Kang Chez, rakan sejawatnya di Thailand bersetuju membenarkan pihaknya menghantar pegawai ke negara itu untuk berjumpa dengan kedua-dua suspek bagi mengambil keterangan mereka.

"Kita mahu mengenal pasti siapakah dalang di sebalik kegiatan penyeludupan itu dan pada masa sama, kita berterima kasih kepada pihak berkuasa Thailand kerana berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan dadah itu ke negara kita," kata beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Biro Pengendalian Narkotik (NSB) Thailand, Leftenan Jeneral Sommai Kongvisaisuk, berkata dadah terbabit yang dihasilkan di utara Thailand, cuba diseludup ke Malaysia sebelum dieksport ke negara lain di mana harga pasarannya lebih tinggi.

Berita Harian X